APM Wilayah dalam Program Kuda Inspirasi Wira Rakyat

APM Wilayah dalam Program Kuda Inspirasi Wira Rakyat

SG RAMAL, KAJANG - Angkatan Pertahanan Awam (APM) Wilayah Persekutuan telah menghantar seramai 15 orang pegawai tetap dan 3 pegawai bersekutu dan kehormat menyertai program Kuda Wira Inspirasi Rakyat. Program yang berlangsung pada 29 dan 30 November ini turut dihadiri oleh tuan Pengarah APM Wilayah sendiri iaitu Yang Setia Kol. (PA) Effendy Bin Haji Ali.

SSC Resources Sdn Bhd dengan kerjasama Ikhwan Equestrian menganjurkan program ini bertujuan untuk memberi pendedahan asas pengendalian dan pengurusan kuda serta memanah. Program yang padat dengan teori serta praktikal ini telah dilangsungkan di Pejabat Negeri Pertahanan Awam Wilayah Persekutuan dan Ikhwan Valley, Sg Merab milik syarikat GISB Holding Sdn Bhd.

Pengarah APM Wilayah berpendapat gabungan jurulatih daripada SSC Resources,Ikhwan Equestrian, Ikhwan Archery, Pelana Arena dan Coach Putra Ku Mahiran (Jurulatih bebas) telah memberi input berguna dan berharap agar ilmu ini dapat diselarikan dengan tugasan APM.

"Selain menyelamatkan harta benda, manusia, haiwan juga termasuk dalam tugasan penyelamatan APM dan kuda merupakan binatang yang kita tiada pengalaman menguruskannya. Input dari program seperti ini perlu diteruskan untuk mempersiapkan anggota kita dalam semua bidang kepakaran" kata beliau.

Tidak dilupakan, kehadiran Ketua Pesuruhjaya APM, YAS KPj (PA) Datuk Aminurrahim Bin Mohamed yang sempat meluangkan masa beliau sebagai tanda sokongan dan dokongan yang kuat terhadap program yang julung kali dianjurkan oleh APM ini. 

Pengarah program, Puan Nur Syuhada Kamaruddin menitipkan pesanan akhir di penghujung program bahawa pengetahuan asas yang kukuh sebelum menceburi sesuatu bidang amat penting agar kemurnian ilmu itu akan terus terpelihara.

Berkhidmat dan berbakti untuk kesejahteraan negara