'Jatuh cinta' pada Kuda

Menunggang kuda boleh dikategorikan antara aktiviti lasak dimonopoli golongan lelaki yang menuntut keberanian dan kemahiran yang tinggi.

'Jatuh cinta' pada Kuda
'Jatuh cinta' pada Kuda

'Jatuh cinta' pada Kuda

Menunggang kuda boleh dikategorikan antara aktiviti lasak dimonopoli golongan lelaki yang menuntut keberanian dan kemahiran yang tinggi.

Bagaimanapun kini tidak lagi, apabila ia mula digemari dan menjadi pilihan wanita sebagai aktiviti riadah dan sukan.

Malah, ada dalam kalangan wanita yang mencabar diri ke peringkat lebih tinggi termasuk memanah berkuda.

Seorang daripadanya adalah perunding imej, Azlia Idha yang aktif dengan aktiviti menunggang kuda sejak sembilan tahun lalu.


Azlia berkata, dia mula terbabit dengan aktiviti berkuda sejak l0 tahun lalu apabila pertama kali melakukannya di AS Equestrian Lenggeng, Negeri Sembilan.

Katanya, pada ketika itu dia hanya mengikut adiknya sebelum terus 'terjebak' sehingga ke hari ini.

"Saya seorang yang suka mencuba perkara baru dan ada senarai yang ingin dicuba sebelum umur 40 dan salah satunya adalah berkuda.

"Asalnya sekadar suka-suka, tetapi lama-kelamaan terus jatuh cinta dalam aktiviti ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, pada awal pembabitan dia berdepan perasaan bercampur baur termasuk takut, berdebar dan teruja.

"Pada ketika itu, baru saya tahu, rupanya kuda boleh rasa tenaga atau perasaan penunggangnya. Sekiranya kita terlalu takut, terlebih yakin atau gembira kuda akan beri tindak balas reaksi tertentu.

"Penunggang perlu kawal emosi dan belajar menjadi pemimpin. Tak boleh terlalu berkeras atau berlembut dengan kuda dan bina keserasian serta bertolak ansur dengan haiwan itu," katanya.

Kemudian selepas agak mahir, dia aktif dengan aktiviti berkuda secara santai di pantai, hutan dan menyertai pertandingan kuda lasak.

Kini dia mencabar diri dengan melakukan aktiviti memanah berkuda yang menuntut kemahiran lebih tinggi.

"Secara kebetulan saya lihat jurulatih sedang membuat latihan memanah berkuda dan saya ditawarkan untuk mencuba.

"Saya beranikan diri dan selepas lakukannya saya rasa teruja kerana dapat pecahkan tembok ketakutan dalam diri," katanya.

Azlia berkata, aktiviti ini sangat mencabar kerana individu yang sedang menunggang kuda perlu melepaskan tangan untuk memanah sambil mengawal haiwan terbabit.

"Justeru itu, penunggang perlu lengkapkan diri dengan asas berkuda dan memanah yang tinggi. Aktiviti memanah berkuda memerlukan masa dan latihan yang berterusan.

"Sekiranya aktiviti ini ditinggalkan terlalu lama, kita perlu berlatih semula," katanya.

Disebabkan kekangan kerja yang padat, dia berhenti selama tiga tahun daripada melakukan aktiviti ini.

"Tahun ini Alhamdulillah saya dapat sambung semula impian saya belajar memanah berkuda dalam kem intensif enam hari di Cape Cavallho, Negeri Sembilan.

"Hikmah dalam memanah berkuda banyak mendidik saya belajar menjaga hati, lebih percaya diri dan bertenang. Di dalam kepantasan kuda bergerak, penunggang harus tenang supaya boleh fokus untuk memanah. Nampak mudah tetapi mencabar," katanya.

Tambahnya, di Malaysia lebih ramai wanita terbabit dengan aktiviti memanah biasa berbanding memanah berkuda.

"Ada yang rasa kurang selesa apabila menunggang kuda kerana faktor berat badan dan sukar mencari pakaian yang sesuai.

"Sebenarnya ada tempat berkuda yang menerima penunggang sehingga 100 kilogram dan mengenai aspek pakaian pula banyak pilihan pakaian sukan muslimah di luar sana. Malah, ada wanita yang berniqab boleh menunggang kuda dengan hebat," katanya.

Oleh sebab itu, dia aktif berkongsi maklumat di media sosial berkenaan aktiviti ini untuk menarik lebih ramai wanita.

"Dari situ saya lihat rupanya, ramai wanita yang mahu menyertai aktiviti berkuda ini namun maklumat atau pendedahan berkenaan lokasi tempat berkuda agak terhad.

"Disebabkan itu, saya dan team Queen Persona mengambil inisiatif untuk menjadi koordinator Program Srikandi Queen Persona asas berkuda dan memanah khas untuk wanita sahaja.

"Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan sehingga kami terpaksa buka penyertaan untuk bulan seterusnya. Semoga dengan usaha ini dapat membantu wanita di luar sana mempelajari sukan Sunnah ini," katanya.