UW - Pakaian Menunggang Kuda Bagi Wanita

UW adalah siri 'Untuk Wanita' yang akan membincangkan topik-topik berkaitan wanita dalam industri berkuda

UW - Pakaian Menunggang Kuda Bagi Wanita

Menunggang kuda merupakan aktiviti sukan yang penuh dengan keindahan, ketangkasan, dan keseronokan. Bagi wanita, terutamanya yang mementingkan keselesaan dan penampilan, pemilihan pakaian yang sesuai adalah aspek yang tidak boleh diabaikan. Selain perlu memberi kebebasan pergerakan, pakaian yang dikenakan juga harus menitik beratkan faktor keselamatan dan kesopanan, terutama bagi wanita Muslim yang perlu mengekalkan aurat mereka. Artikel ini akan menjawab mengupas tentang pemakaian yang sesuai bagi wanita yang ingin menunggang kuda. 



1. Baju

Pilih baju t-shirt atau kemeja yang longgar & tidak ketat. Dari segi material kainnya pula, sebaiknya dapatkan material yang menyerap peluh dan cepat kering seperti cotton atau jersey. Elakkan memakai pakaian yang berbulu atau bermanik kerana bimbang boleh mengganggu tumpuan kuda. Pemakaian one piece dress seperti jubah dan dress juga tidak digalakkan kerana dikhuatiri akan mudah tersangkut, menganggu tumpuan kuda atau membataskan pergerakan anda diatas kuda.

2. Seluar

Seluar yang digunakan mestilah panjang bagi mengelakkan sebarang geseran kepada kulit. Seluar track suit dan seluar jeans adalah pilihan yang baik buat pemula. Elakkan memakai seluar yang berambu ramba, atau seluar yang terlalu baggy seperti palazo kerana dikhuatiri tersangkut seterusnya membahayakan diri anda. Pemakaian seluar kuda (Jodhpurs atau Breaches) lebih selesa dan praktikal dalam memberi cengkaman yang baik antara anda dan pelana, tetapi seluar ini sedikit ketat. Sebagai alternatif, anda boleh memilih ukuran size seluar yang lebih besar atau padankan seluar bersama skirt pendek yang dapat menutupi bahagian pinggul anda.

3. Tudung

Pilih tudung yang diperbuat daripada fabrik yang menyerap peluh, tidak licin dan cepat kering seperti cotton atau jersey. Elakkan memakai tudung jenis kain satin kerana sifatnya licin dan mudah tertanggal ketika anda menunggang kuda. Dari segi ukurannya pula, dicadangkan tudung tadi tidak terlalu panjang untuk mengurangkan risiko tersangkut ketika menunggang.

4. Sarung Tangan

Bagi pemula, sangat digalakkan untuk memakai sarung tangan sebagai langkah penjagaan keselamatan. Pilih sarung tangan yang direka khas untuk berkuda kerana selain menjamin keselamatan rekaannya dapat memberikan keselesaan dan cengkaman terhadap rein yang lebih baik.

4. Kasut

Kasut yang sesuai untuk menunggang kuda adalah boots. Boots ini sebaiknya mempunyai tumit rendah sekitar 1.5 inci untuk mengelakkan kaki anda tergelincir dari stirrup. Jika anda tidak memiliki boots, anda bolehlah memakai kasut sukan sebagai pengganti dan elakkan memakai selipar atau sandal.

4. Helmet

Helmet adalah pakaian penting penunggang kuda yang tidak boleh diabaikan. Disarankan untuk menggunakan helmet yang dikhaskan untuk berkuda kerana ianya telah disahkan mengikut spec dan piawaian keselamatan aktivit berkuda. Pakai helmet yang bersesuaian dengan saiz kepala anda, tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar bagi memberikan perlindungan optimum kepada kepala sekiranya berlaku kemalangan. 



Dengan pemilihan pakaian yang tepat, menunggang kuda akan menjadi aktiviti yang selesa dan selamat di samping mengekalkan aurat dan kesopanan sebagai seorang wanita.