UW - Langkah Mengatasi Gangguan Seksual Dalam Berkuda Berulang
UW adalah siri 'Untuk Wanita' yang akan membincangkan topik-topik berkaitan wanita dalam industri berkuda
Penelitan dan kefaham berkaitan gangguan seksual amat penting bagi menjaga maruah dan kehormatan diri. Jika anda belum memahami berkenaan gangguan seksual dalam berkuda, anda boleh baca berkenaannya dalam artikel yang sebelum ini bertajuk UW - Salah Laku & Gangguan Seksual Dalam Berkuda.
Pada artikel kali ini, fokus adalah pada langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya anda telah menjadi mangsa bagi gangguan seksual. Tindakan ini perlu diambil segera supaya pelaku tidak merasakan anda menerimanya atau anda merelakannya. Berikut ialah beberapa tindakan yang perlu anda lakukan bagi menyelesaikan masalah gangguan seksual :-
1. Laporkan Salah Laku Yang Berlaku
Laporkan kejadian kepada pihak pengurusan sekolah/kelab menunggang kuda tempat anda diganggu. Mereka mempunyai tanggungjawab untuk menangani isu tersebut dan memastikan persekitaran yang selamat.
2. Catat Butiran Penting
Simpan butiran-butiran penting secara terperinci tentang perkara yang berlaku, termasuk tarikh, masa dan perihal tingkah laku. Butiran ini sangat berguna jika anda memutuskan untuk memfailkan aduan rasmi kepada pihak berkuasa.
3. Cari Sokongan
Bercakap atau bercerita dengan mereka yang dipercayai sama ada dalam kalangan rakan, ahli keluarga atau profesional supaya mereka dapat memberikan sokongan emosi dan bimbingan kepada anda. Memendam perkara yang terjadi bersendirian mungkin akan menjejaskan emosi anda.
4. Fahami Hak Anda
Biasakan diri anda dengan undang-undang dan dasar tempatan yang berkaitan dengan gangguan seksual. Ini boleh membantu anda memahami perlindungan dan penguatkuasaan yang boleh membantu anda menyelesaikan perkara ini.
5. Pertimbangkan Tindakan Undang-undang
Jika gangguan berterusan atau tindak balas daripada pihak pengurusan kurang memuaskan, anda boleh mengambil langkah sendiri dengan membuat laporan polis dan berunding dengan profesional undang-undang untuk tindakan selanjutnya.
Aktiviti menunggang kuda merupakan aktiviti yang menyihatkan tubuh badan dan tidak seharusnya dicemarkan dengan gangguan seksual ini. Setiap dari kita berhak menyertai aktiviti ini tanpa diganggu atau didiskriminasi. Bertindak bersama dalam mencegah tingkah laku buruk ini amat penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni.













