Endurance Festival Bavaria - Malaysia Tawan Dua Podium di German
KUALA LUMPUR - Atlet kuda lasak remaja negara, Wan Nur Irdina Aisya Wan Mohd Kamaluddin dan Ahmad Haziq Farhan Ahmad Faris mempamerkan aksi cemerlang selepas berjaya menundukkan wakil tuan rumah dalam Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia 2024 (Pusingan Kelayakan) yang diadakan di Endurance Festival Bavaria, Buch, Jerman pada 12 Oktober 2024.
Wan Nur Irdina Aisya yang menunggang kuda bernama Gondor De La Fichade berjaya merangkul tempat kedua kejohanan, manakala Ahmad Haziq Farhan yang menunggang kuda bernama Gentleman Valarbin AA mengiringinya di tempat ketiga. Tempat pertama kejohanan dimenangi oleh wakil daripada Itali, Elisa Bruzzi dengan menunggang kuda bernama Mallorca Bosana.
Kedua-dua wakil dari Pasukan Endurance Negeri Terengganu (STET) menamatkan acara 100 kilometer remaja tersebut dengan catatan masa 6 jam 16 minit dan 1 saat bagi Irdina dan Haziq pula hanya ketinggalan 1 saat dibelakang.
Apa yang lebih menarik berkaitan dua atlet negara ini adalah keduanya tidak meninggalkan tuntutan pengajian akademik mereka dalam mencipta kecemerlangan dalam bidang sukan kuda lasak. Haziq Farhan merupakan siswa Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa), sementara Irdina Aisya masih bersekolah di SMK Seksyen 9 Shah Alam.
Kejayaan wakil remaja ini sekaligus membuktikan Malaysia tidak pernah ketandusan bakat dalam sukan ekuestrian terutamanya dalam acara Endurance dan mampu menjadi pesaing hebat antara negara asia tenggara. Semoga sukan ekuestrian ini terus berkembang dan diberikan perhatian yang sewajarnya.
TAHNIAH, CERGAS BERSAMA !!!













