UW - Salah Laku & Gangguan Seksual Dalam Berkuda
UW adalah siri 'Untuk Wanita' yang akan membincangkan topik-topik berkaitan wanita dalam industri berkuda
Gangguan seksual merujuk kepada tingkah laku yang tidak diingini berkaitan dengan seks, yang boleh menyinggung, mengancam, atau menimbulkan ketidakselesaan kepada orang lain. Tindakan ini melibatkan penggunaan kuasa atau kelebihan tertentu yang bertujuan untuk mengawal, memperkecilkan, atau menganiaya seseorang berdasarkan jantina atau seksualiti mereka.
Dalam bidang kuda juga tidak terkecuali, masalah ini kadang kala berlaku tanpa kita sedari khususnya kepada wanita-wanita memandangkan kurangnya jurulatih wanita yang terlibat dalam bidang ini. Contoh-contoh salah laku gangguan seksual dalam sukan berkuda yang mungkin anda hadapi adalah:
1. Sentuhan Tidak Diingin
Pelatih, rakan sepasukan, atau staf yang terlibat dalam sukan berkuda melakukan sentuhan fizikal yang tidak wajar atau tidak diingini ke atas anda, terutama pada bahagian tubuh yang sensitif sekalipun ketika sedang mengajar. (Contoh: pelatih memegang tangan anda untuk mengajar teknik pegangan "rein")
2. Komen atau Ucapan Seksual
Ucapan berbaur seksual, komen yang mengandungi gangguan, atau perkataan yang tidak sopan berkaitan dengan jantina, rupa fizikal, atau orientasi seksual kepada ada sewaktu mengajar atau berbual. (Contoh: "Balik rumah exercise sikit, punggung tu berat nak buat rising trot")
3. Paksaan atau Ugutan Seksual
Menggunakan kedudukan kuasa, seperti pelatih atau pengurus, untuk memaksa anda melakukan perbuatan seksual dengan ancaman kehilangan peluang pertandingan, latihan, atau kemajuan dalam sukan. (Contoh: pelatih memaksa anda memakai pakaian yang ketat dalam sesi kelas jika ingin terus belajar dengannya)
4. Tingkah Laku Mengintai atau Merakam
Mengintip anda ketika berada dalam situasi peribadi seperti di bilik persalinan atau ketika berehat atau mengekori anda dengan niat yang tidak wajar. Merakam diri anda ketika sesi latihan tanpa izin dan kebenaran anda juga boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual. (Contoh: pelatih merakam video anda menunggang kuda dengan telefon pintarnya dengan alasan sebagai rujukannya untuk kelas berikutnya)
5. Gangguan Melalui Media Sosial
Mengirim mesej berbaur seksual, gambar tidak senonoh, atau komen yang tidak sesuai melalui media sosial atau komunikasi elektronik lain. Menyiarkan gambar atau video anda di media sosial dalam kelakuan yang kurang sopan, tanpa kerelaan dan persetujuan anda. (Contoh: kenalan anda membuat posting berkenaan anda dengan menggunakan istilah "double meaning" yang boleh mengelirukan orang lain)
6. Diskriminasi atau Bias Jantina
Memperlakukan anda secara tidak adil atau menyisihkan anda kerana jantina atau orientasi seksual. (Contoh: pelatih lelaki yang hanya mengambil dan melatih pelajar wanita sebagai muridnya)
Tindakan-tindakan di atas bukan hanya melanggar etika sukan tetapi juga melibatkan undang-undang, malahan boleh memberi kesan negatif kepada kesejahteraan fizikal dan mental kepada mangsa. Pihak stable perlu cakna dan bertanggunjawab sekiranya berlaku masalah-masalah ini di tempat mereka. Siri UM seterusnya akan membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil jika anda pernah menjadi mangsa.













