Tunggang, gosok kuda penawar slip disc

ditulis oleh Rosalinda Md Said dalam Akbar Utusan Malaysia

Tunggang, gosok kuda penawar slip disc
Norsafarina Rahmad bersama kuda kesayangannya Syifa' yang merupakan ketua di kandang Kesuma Stable, Semenyih
Tunggang, gosok kuda penawar slip disc
Tunggang, gosok kuda penawar slip disc

SEPANJANG empat tahun didiagnosis mengalami slip disc, hospital ibarat rumah keduanya kerana selang dua minggu sekali perlu menjalani rawatan fisioterapi. Tetapi, penyakit ditanggung Norsafarina Rahmad, 48, masih tidak menunjukkan perubahan atau tanda-tanda sembuh. Bahkan, makin teruk hingga tidak boleh berdiri dan terpaksa diberikan suntikan steroid pada Disember 2018 bagi mengurangkan keradangan pada kaki kananannya. Malangnya, kesan suntikan berkenaan tidak bertahan lama dan sakit sama muncul semula selepas 24 jam. 

Melihat kepada perkembangan kesihatannya yang kurang memuaskan, doktor kemudian menasihatkan pegawai bank itu untuk menjalani pembedahan. Norsafarina menangguhkan prosedur itu dan atas saranan suami, Mohammad Suhly Abd. Rahman, 48, dia menjadikan kuda sebagai terapi pemulihan slip disc. Hingga kini, aktiviti berkuda terus menjadi rutin penawar penyakitnya dan hobi di masa lapang. 

"Suami berkuda sejak 2017 lagi dan ada kandang di Serdang tetapi saya tidak pernah pergi atau teringin untuk menunggang dek kerana sibuk bekerja serta menguruskan anak-anak. Demi untuk sembuh daripada derita slip disc, saya ketepikan semua perasaan takut dan nekad belajar teknik asas berkuda daripada suami sejak Januari 2019.

"Orang mungkin ingat berkuda cuma duduk sahaja tetapi sebenarnya seluruh mental dan fizikal kita terlibat, malah, penunggang perlu sentiasa bersedia dan berwaspada ketika mengawal kuda," katanya ketika ditemui di kandang miliknya, Kesuma Stable di Semenyih baru-baru ini. 

Siapa sangka dalam tempoh cuma enam bulan mengamalkan hobi sukan sunnah itu, sakitnya semakin berkurangan hingga mengejutkan doktor yang merawatnya. Sejak detik itu, Norsafarina nekad menghentikan pengambilan ubat-ubatan slip disc dan rawatan fisioterapi, lantas menumpukan kepada terapi berkuda sahaja bagi melawan penyakitnya. 

"Apabila kaki lenguh, saya terus berkuda. Jika dahulu cuma perlahan-lahan di sekitar kandang kini, saya sudah boleh menunggang secara laju termasuk keluar outuride dan menyertai kejohanan kuda lasak (endurance)" 

"Selain menunggang, saya juga amalkan rutin merapikan haiwan itu dengan menggosok bulu, memberi makan dan memandikannya untuk mengeratkan lagi hubungan. Kaedah ini secara saintifik terbukti melegakan masalah saraf, sakit sendi, tulang mahupun ketidakselesaan akibat tersalah batal atau tidur,"katanya.

----------------------------------------------------------------------------------------------
SERTAI ENDURANCE

NORSAFARINA turut mencabar kemampuan diri dengan menyertai Kejohanan Kuda Lasak RTES di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, Terengganu, bulan lalu. Walaupun pertama kali menyertai acara seumpama itu, tetapi dia bersyukur kerana pasukannya, Kesuma Stable dapat menyelesaikan cabaran.

"Endurance sangat menguji fizikal dan mental penunggang, tetapi Alhamdulillah saya dapat menamatkan kejohanan sejauh 40 kilometer itu,"katanya. 

----------------------------------------------------------------------------------------------
TENAGA PENGAJAR WANITA

HOBI berkuda turut mendorong ibu tiga anak berusia ini menjadi tenaga pengajar buat wanita yang mahu berjinak-jinak dalam sukan itu. Idea itu tercetus lantaran kekurangan jurulatih wanita di kebanyakan pusat latihan berkuda di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. 

"Ramai wanita berminat berkuda tetapi hasrat itu terbantut disebabkan isu tertentu termasuk tidak selesa diajar jurulatih lelaki. Atas kesedaran itu, saya terpanggil untuk menawarkan khidmat sebagai jurulatih wanita dan sambutan yang diterima amat menggalakkan, malah majoriti pelanggan Kesuma Stable adalah wanita,"katanya yang memiliki pelajar daripada pelbagai peringkat usia sehingga 52 tahun. Bagaimanapun, kelasnya hanya tertumpu kepada teknik-teknik asas berkuda iaitu walk, trot dan canter

Katanya, perkara pertama yang lazim ditanya kepada pelajar adalah objektif mahu mempelajari ilmu berkuda bagi bersama-sama membantu mencapai matlamat yang diinginkan. 

"Kelas saya lebih kepada perkongsian pengalaman kerana niat saya mahu setiap wanita berani menunggang sekali gus dapat menyuburkan amalan sukan sunnah ini di Malaysia. Ada juga pelajar yang lemah lembut dan takut-takut pada mulanya, tetapi lama-kelamaan muncul keberanian serta keseronokan apabila mereka sudah faham teknik berkuda yang betul,"katanya. 

Kesuma Stable beroperasi sejak Oktober 2022 dengan memiliki sebanyak lima kuda.

----------------------------------------------------------------------------------------
PERANGAI MACAM MANUSIA

KUDA merupakan haiwan paling setia, namun dalam masa sama boleh bertukar pendendam jika berdepan trauma. 

"Gelagat atau ragam kuda berbeza-beza sama macam manusia, oleh itu pemilik atau penunggang perlu bijak membaca perangai haiwan itu untuk memudahkan kita mengawalnya. Justeru, amalan bonding amat penting kerana apabila kuda kenal siapa yang memberi makan atau memandikannya lantas dapat mewujudkan rasa saling percaya dan yakin antara satu sama lain, sekali gus memudahkannya patuh kepada arahan. Sebab itulah, ada perumpamaan 'apabila menunggang, dua jiwa akan bersatu' dan itulah kepuasan sebenar dalam hobi berkuda ini,"katanya

----------------------------------------------------------------------------------------
SYIFA' MASUK FILEM

KUDA pertama ditunggang Norsafarina bernama Syifa'. Kuda berwarna coklat berusia 16 tahun itu adalah kesayangannya dan merupakan ketua di kandang.

"Seperti maksud namanya iaitu penyembuh, Syifa' memiliki karakter tenang dan rileks, malah disayangi semua penunggang di Kesuma Stable. Syifa' turut membintangi filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah dan ditunggang oleh tonggak utama iaitu Fattah Amin dan Fazura," katanya. 

Kata Norsafarina, sebelum ini Syifa' memiliki nama lain, tetapi disebabkan kerap sakit, panggilan itu ditukar dan serasi hingga kini. Seperti manusia, pemilihan nama yang tepat bagi kuda adalah penting kerana ia akan mempengaruhi perangai haiwan itu. 

Silap panggilan atau gelaran akan menyebabkan kuda degil dan berisiko membahayakan nyawa atau keselamatan penunggang. Namun elakkan daripada memberikan nama individu terhormat dalam Islam dan nama-nama sahabat Rasulullah SAW kepada kuda.